(no title)

datochemin_3

PERUTUSAN PENGERUSI KOPERASI PUSAT ISLAM BERHAD (KOPIM)

BismiLlahirahmanirrahim, dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam dan ayuh sama-sama kita selalu berselawat kepadanya agar beroleh syafaat di akhirat nanti. Alhamdulillah, dalam kesempatan yang sangat berharga ini, saya dapat bersilaturrahim dengan semua anggota serta menyampaikan perutusan pada kali buat julung kalinya dalam web Koperasi Pusat Islam Berhad (KOPIM).

Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang telah memilih dan memberi kepercayaan kepada saya menerajui Koperasi Pusat Islam Berhad (KOPIM) bagi sesi 2019-2020 ini. Kepercayaan dan peluang ini akan saya manfaatkan untuk menyusun perancangan berstrategik bagi mencapai objektif koperasi. Antara lainnya ingin melahirkan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang berwibawa, berdedikasi dan sekaligus dapat membahagiakan serta mensejahterakan anggota koperasi keseluruhannya.

Sekalung penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih juga kepada semua Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan pekerja koperasi di atas kegigihan serta kesungguhan dalam memastikan koperasi ini terus berkembang maju dan mampu berdaya saing dengan koop lain. Kerjasama dan semangat dalam memajukan koperasi ini akan menjadi pemangkin bagi mencapai sasaran dan visi KOPIM. Malah impian ALK ingin menjadi antara koperasi terbaik seluruh Malaysia insya-Allah.

Tanpa kesungguhan dan keyakinan yang tinggi terhadap matlamat dan pendekatan Korporat Islam, sesebuah koperasi itu tidak mungkin dapat bertahan lama dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. Oleh yang demikian telah menjadi tanggungjawab Anggota Lembaga Koperasi (ALK) untuk memperkemaskan organisasi diperingkat pengurusan, bertanggungjawab mengatur dan mengeratkan lagi ukhuwwah sesama anggota.

Selain dari itu, kita semua mampu meletakkan nama KOPIM menjadi sebuah koperasi yang disegani, terulung di negara ini dan terunggul di persada antarabangsa turut menjadi salah satu daripada misi koperasi. Anggota Lembaga Koperasi akan berusaha sebaik mungkin memberi sepenuh komitmen, demi kebaikan dan kesejahteraan serta dapat meningkatkan lagi taraf hidup anggota koperasi secara bermuafakat demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kita sedang berhadapan dengan situasi ekonomi global yang kian mencabar.. Oleh itu, koperasi perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan kejayaan koperasi di masa hadapan. Ini bertepatan sekali dengan pendekatan yang di bawa oleh Ahli Lembaga Koperasi (ALK) menerusi prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang boleh dijadikan sebagai panduan halatuju transformasi koperasi.

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih yang tidak terhingga diatas sokongan padu terhadap apa jua aktiviti yang dilaksanakan oleh koperasi. Saya merasa sungguh teruja sekali terhadap sokongan yang ditunjukkan oleh seluruh anggota yang baik hati dan semua warga Koperasi Pusat Islam Berhad (KOPIM).

“BERUSAHA BERSAMA MENUJU KEBAHAGIAAN”

DATO HAJI CHE MIN BIN CHE AHMAD

Pengerusi,
Koperasi Pusat Islam Berhad (KOPIM)

22 Januari 2020